Bismillahirrahmanirrahim...

Nikmat Tidak Pernah terhenti MESKIPUN Hati Berulangkali mati... Begitu baiknya Allah terhadap kita. Muhasabah diri sendiri....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, February 22, 2010

KISAH 2 ORANG MUSAFIR...

Kisah dua orang musafir adalah pemisalan antara orang yang menghafal Al-Quran dan orang yang tidak menghafalnya. Orang yang sentiasa menghafal Al-Quran dapat digambarkan sebagai seorang musafir jauh yang mana perlu tiba ke destinasinya dengan cepat. Maka dia akan membekali dirinya dengan makanan yang cukup dan tersedia masak. Sehingga bila musafir itu terasa lapar, lalu dicapainya bekalan yang tersedia masak itu tanpa perlu dia berhenti walau seketika.
Maka dengan cara ini, dia dapat tiba ke destinasinya dengan cepat.Adapun bagi orang yang tidak menghafal Al-Quran, digambarkan juga sebagai seorang musafir yang hala tujuannya adalah sama seperti musafir di atas. Namun, bekalan yang dibawa adalah bekalan mentah yang mana dia perlu mempersiapkan makanannya itu (dengan memasak dan sebagainya) sebelum boleh dimakan. Jadi, apabila dia lapar maka dia perlu berhenti untuk mempersiapkan makanannya itu. Dengan itu perjalanan dia akan lewat setiap kali dia lapar dan berhenti untuk makan.
Demikianlah analogi bagi orang-orang yang menghafal Al-Quran dengan yang tidak.Orang-orang yang menghafal Al-Quran, dia boleh membacanya sepanjang hari tanpa mengganggu mahupun mencacatkan rutin kerja harian yang lain. Dengan itu, Allah mengizinkan para penghafal Al-Quran untuk membaca dan mengalunkan kalam-kalam agung di mana saja dia berada dan di setiap ketika. Dia boleh mengalunkannya ketika berkenderaan, berjalan, melakukan aktiviti harian seperti memasak, di dalam solat mahupun di luar solat.
Bagi orang yang kurang hafalannya pula, dia memerlukan masa untuk membersihkan diri, berwudhu’ dan kitab Al-Quran ketika dia ingin membacanya. Dan dia perlu mengambil waktu dengan duduk di hadapan mushaf Al-Quran untuk membacanya tanpa boleh membacanya sambil berkenderaan, berjalan mahupun ketika melakukan aktiviti seharian. Dengan itu ia akan membataskan segala kerja-kerja seharian yang lain sehingga lewatlah sebahagian waktunya yang lain.
Oleh kerana itu, para pembaca Al-Quran dan penuntut ilmu, marilah untuk kita sama-sama berusaha memperbaiki ilmu tajwid kita disamping memperbanyakkan koleksi hafalan kalam-kalam agung dari Allah. Kerana dapat dilihat, dengan menghafal Al-Quran ini dapat memberi banyak manfaat kepada diri sendiri dan juga ummat Islam yang lainnya memandangkan masa yang dikurniakan Illahi ini dapat digunakan sepenuhnya yang mungkin.

No comments:

Post a Comment